BATRISYAH mengetap bibir. Geram kerana Savvy kesayangannya dihalang oleh Toyota Vios berwarna silver itu. Dia mula bercekak pinggang bila melihat dua jejaka tampan memerangkap pemilik kereta berkenaan tersengih-sengih memandangnya. Suhu badannya terus ke tahap kemuncak. Berkerut-kerut dahinya menahan marah. Nyata lelaki itu memang sengaja menghadang keretanya. Kali ini dua pemuda itu sudah melampau!
"Maaflah makcik yang ayu…saya bukan sengaja nak menghalang
laluan kereta awak. Tempat parking penuh." Yang berkumis nipis itu
menjelaskan keadaan. Melebar saja senyumannya.
"Penuh kepala hotak kau!" Batrisyah melenting.
Sering-kali Toyota Vios itu diparkirkan belakang keretanya. Mula-mula dia tidak
hairan sangat. Mungkin benarlah alasan dua lelaki itu parking penuh. Tapi
lama-lama lain benar rasanya. Hari-hari dua lelaki itu buat darahnya menyirap.
Mahu cari gaduh ke?
"Garangnya…." Lelaki itu menyakat. Suka benar melihat
gadis ayu itu naik darah. Comel dengan tahi lalat di bibir merah merekah itu.
"Kamu tak reti-reti nak kalihkan kereta mahal kamukah? Aku
nak balik cepat ke rumah!" jegil Batrisyah. Sebelah kakinya sudah
menghentak-hentak ke tanah. Dua mangkuk ayun itu masih boleh buat muka sambil
lewa.
"Amboi! Makcik seorang ini makin garang dia. Berkerut-kerut
muka dia. Jangan buat muka berkerut macam itu. Nanti cepat berkedut!" giat
si kumis nipis itu. Temannya sudah ketawa mengekeh. Sempat dia mengerling sekilas
pada wajah ayu Batrisyah yang sedang terbakar itu. Memang ayu gadis itu.
Patutlah kawannya itu sudah tertawan hati.
"Kalau muka aku berkedut pun kau nak sibuk apa! Itu muka
aku! Aku punya pasal! Cepat alihkah kereta kamu!" marah Batrisyah.
"Risyah…awak ni memang tak pandai berguraulah. Kalau iya
pun nak minta kitaorang alihkan kereta cubalah cakap baik-baik sikit. Awak tu
orang perempuan tahu. Kena sopan-santun dan lembut sikit dengan kami yang
lelaki ni."
"Kepala hotak kau! Hari-hari blocking kereta aku apa
kejadahnya! Kau memang saja cari pasal dengan aku kan Syed Ibtisyam!"
"Eh! Kau tahu nama aku ya Risyah. Terkejutrnya aku. Lain
kali sebut nama aku tu biar penuh. Syed Ibtisyam Bin Dato’ Syed Mukhlis. Macam
aku sebut nama penuh kau Nur Sufi Batrisyah Binti Sufian."
Makin loyar buruk mamat seorang ini. Yang seorang itu asyik
tersengih-sengih macam kerang busuk. Ada jugak yang makan kasut aku nanti!
Merengus Batrisyah dalam hati.
"Apa yang bising-bising ni Ib?" Wajah Baby Liyana
muncul tiba-tiba. Kecoh dia dengar di tempat parkir kereta itu dengan suara
Batrisyah dan Syed Ibtisyam.
"Eh! Yana…tak perasan pulak I. You pun baru balik kerja
ke?" Syed Ibtisyam bertanya. Baby Liyana mencebik. Akukan satu pejabat
dengan kau! desis hati kecilnya.
"Tak? Baru lepas cuci jamban. Dah tahu di tanya pula
lagi." gerutu Baby Liyana. Syed Ibtisyam ketawa kecil. Baby Liyana buka
bonet keretanya. Fail yang bertimbun-timbun itu dimasukkan. Dikerling pada raut
ayu Batrisyah yang masih berkerut-kerut. Faham benarlah dengan masalah teman
baiknya itu. Syed Ibtisyam cari pasal lagilah tu. Baby Liyana gelengkan kepala.
Sehari kalau tidak bertekak memang tak boleh. Batrisyah dan Syed Ibtisyam macam
anjing dengan kucing.
"You mencari nahas sajalah Ib."
"Aku memang suka cari nahas. Terutama dengan gadis yang
berkulit putih gebu ni. Kalau marah menyala merahnya. Kat situ yang aku cukup
berkenan tu. Sehari tak tengok tak tidur malam aku. Esok dah akad nikah,
hari-hari berkurung dalam bilik." Makin galak Syed Ibtisyam menyakat.
Tidak dinafikan dia suka melihat raut lembut pada wajah Batrisyah yang putih
melepak itu. Tidak perlu mengenakan make-up lebih-lebih. Pertama kali bertemu
dua mata dia sudah berkenan dengan gadis yang tampak lembut tapi garangnya
macam singa.
"Tak hingin aku bernikah dengan buaya tembaga macam kau!
Aku lagi sanggup angkat nikah dengan mamak roti canai tu dari menikah dengan
kau!" Terburai ketawa Syed Ibtisyam. Dalam marah-marah Batrisyah masih
juga boleh buat lawak dengan dia.
"Tak baik kau kata aku buaya Risyah. Kalau aku buaya dah
lama aku ngap kau tahu tak?"
"Kalau berani ngaplah!" Batrisyah jegilkan biji mata.
Batrisyah! Batrisyah…kau memang straight the point! Ada saja
jawapan dari bibir kau. Tidak mahu mengaku kalah. Kau umpama mawar yang cantik
tapi berduri. Bagaimana baru aku dapat menebusi dinding besimu Batrisyah.
"You tidak ada kerja lainkah selain menyakat orang
Ib." Baby Liyana mencelah. Faham benar dengan sikap nakal Syed Ibtisyam.
Jika dia sudah suka pada seorang gadis itu, dia tidak akan berputus asa untuk
memikatnya.
"Kerja aku sentiasa melambak-lamabk di ofis tu tapi semua
kerja tu tidak setanding dengan kerja yang ini. Kerja yang ini aku paling suka,
Yana." Makin besar tawanya.
"Baiklah. Aku akan buat kau faham Syed Ibtisyam!"
Batrisyah merengus. Dia aturkan langkah masuk ke dalam kereta. Enjin keretanya
dihidupkan. Syed Ibtisyam yang tidak henti-henti ketawa itu tiba-tiba terdiam.
Wajahnya berubah. Dia pandang teman baiknya. Temannya itu jungkit bahu.
"Kalau you tak mahu kereta you hancur dikerjakan dia baik
you alih kereta you cepat Ib!" teriak Baby Liyana yang sudah berada dalam
keretanya. Nyata dia sudah tahu maksud yang tersirat dalam otak Batrisyah tadi.
"Hmmmmm…tak boleh disakat sikit." getus Syed Ibtisyam.
Syed Ibtisyam terus berlalu mengalihkan keretanya.
"Awak bernasib baik kerana kereta mahal awak tidak
diapa-apakan hari ini! Esok saya tidak menjamin keselamatan kereta awak!"
pesan Batrisyah yang lalu di sebelah kereta Syed Ibtisyam. Batrisyah lesap dari
pandangan mata Syed Ibtisyam.
"Kita tunggu dan lihat saja nanti." bisik hati kecil
Syed Ibtisyam. Garis senyuman
terukir di bibir Syed Ibtisyam.
CEMBUL pintu rumahnya dipulas perlahan. Batrisyah menanggalkan
kasutnya. Dia campakkan beg galasnya atas sofa dan terduduk lesu. Letih seharian
dengan kerja-kerja yang melambak di pejabat. Batrisyah mencapai remote
televisyen. Lebih baik dia melayan tengok televisyen dari mengingatkan
pertelingkahan di tempat parkir kereta tadi. Syed Ibtisyam….Lelaki itu sering
saja mencari masalah dengan dia. Berlagak! Mentang-mentanglah dia anak Dato’.
Menyampah benar Batrisyah dengan lelaki berkumis nipis itu. Hari-hari mahu cari
pasal dengan dia.
Telefon bimbitnya bergegar di atas meja. Lagu Hero nyanyian
Enrique Iglesias bergendang di telinga Batrisyah. Nama Qais tertera pada skrin
telefon.
"Assalamualaikum…" ceria suara Qais di talian.
Batrisyah mengukir senyuman.
"Waalaikumsalam…happy semacam aje adik akak ni. Dapat
tackle makwe cun dekat Uitm ke?"
"Hisy kak Risyah ni. Ke situ pulak dia. Adik ada berita gembira
nak sampaikan pada kakaklah."
"Berita apa? Kau menang loteri ke Is?"
"Kak Risyah….."
"Okay…okay…okay…I’ll be serious."
"Kak Fa dah selamat melahirkan baby girl."
"Alhamdulillah…" ucap Batrisyah sayu. Tentu bayi
perempuan itu comel seperti ibunya. Lengkap sudah sebuah keluarga buat Farisya
dan Ashraf. Air mata Batrisyah bergenang bila mengingati nama Ashraf. Lelaki
itu pintakan kebahagiaan darinya. Dia sudah berikan dengan hati yang ikhlas.
Biarlah hatinya terluka asalkan orang-orang yang tersayang bahagia. Melepaskan
orang yang dikasihi demi kebahagiaannya.
Bertahun-tahun cinta bersemi namun jika Tuhan sudah takdirkan
tiada jodoh antara mereka, dia pasrah menerimanya. Cinta itu tidak boleh
dipaksa. Dia tidak peduli apa yang orang sekeliling mengata tentang dirinya.
Apa yang dia buat bersebab. Tidak perlu mereka tahu akan sebab itu kecuali
dirinya sendiri.
"Kakak…" panggil Qais dalam talian. Batrisyah
tersentak. Segera dia menyeka air mata yang mengalir.
"Kakak masih rindukan Abang Raf ke?" soal Qais.
"Eh! takdelah. Dia sudah jadi suami kepada adik kakak
sendiri. Untuk apa akak rindukan dia. Mengarutlah Is ni." dalih Batrisyah.
"Kakak berikan kebahagiaan pada Abang Raf…tapi kebahagiaan
kakak sendiri tercalar. Adilkah itu kakak?" Batrisyah terdiam. Dia tidak
menyangkal kata-kata Qais itu.
Hingga hari ini Ashraf masih bertakhta di hatinya. Cuba diusir
nama itu namun sukar untuk melupakan segala kenangan indah antara mereka.
Mungkin dia masih tidak kuat untuk memadam memori cinta mereka. Hatinya
dicarit-carit bila Ashraf mengaku dia mencintai adiknya Farisya secara
terang-terangan. Cinta yang dibina selama enam tahun sekelip mata hancur
dilanda badai. Batrisyah tiada pilihan lain selain mengorbankan cinta itu
biarpun dia tahu dia akan terluka.
"Kakak sedia menerima akibatnya bila kakak berkeputusan
menyerahkan Abang Raf menjadi milik Farisya. Kakak tidak menyesal Is."
"Iyalah tu. Sampai semua adik-beradik membenci dan membuang
kakak. Kak Fa tu anggap kakak sebagai musuh ketat dia. Pantang nampak muka
kakak mula datang penyakit gilanya." bebel Qais. Batrisyah tersenyum
kecil. Qais…adik bongsunya itu amat memahami dirinya. Sering-kali Qais
memberikan nasihat dan bebelan kepada Batrisyah. Qais nampak matang dari
usianya yang baru mencecah 19 tahun itu.
"Maybe muka kakak cantik sangat kot." Batrisyah
berseloroh.
"Orang serius…kakak main-main ye. So kakak datang tak nanti
lawat Kak Fa dekat hospital? If kakak pergi, Is nak tumpang sekali."
"Insya-ALLAH. Kakak akan call Is bila nak pergi
nanti."
"Kakak…jangan pendamkan kedukaan dalam hati. Is masih ada
di sisi kakak. Is masih kuat menyokong kakak. Is tahu kakak rindukan kampung
tapi kakak tahan diri kakak demi Kak Fa dan yang lain. Pejamkan mata saja kak.
Mereka bukan tahu apa-apa. Mereka cuma nampak yang buruk depan mata."
"Is memang selalu dapat membaca gerak hati kakak. Tapi
kakak tak boleh Is. Abah dah buang kakak. Abah bencikan kakak." Siapa
tidak rindukan kampung halaman sendiri. Tempat dia dilahir dan dibesarkan.
Rindu pada abah….rindu pada suasana yang damai di kampung.
"Itu dulu…abah dah tak marahkan kakak lagilah. Dia dah
lupakan semuanya. Lagipun tiada sesiapa yang nak menjenguk abah di kampung tu
jika bukan Is seorang. Yang lain sibuk memanjang je. Baliklah
kakak…jenguk-jenguklah abah nanti." Qais memujuk. Bila dia pulang ke
kampung sering-kali dia melihat abahnya termenung sendirian. Wajah orang tua
itu tampak sedih dan kesal. Qais tahu abah masih sayangkan Batrisyah. Itu
satu-satunya anak gadis dia yang rajin menjenguk dia di kampung walaupun
kakaknya itu amat degil dan keras kepala.. Apa yang abah perlukan bukan wang
ringgit tapi perhatian dari anak-anaknya.
Batrisyah membisu. Dalam hatinya dia amsih ada rasa ragu.
Benarkah abah sudah memaafkan dia seperti yang dikatakan oleh Qais.
"Tengoklah nanti kakak fikirkan."
"Okaylah kakak…Is ada discussion dekat library kejap lagi.
Gerak dululah. Jangan lupa hantar stok bekalan biskut dekat Is. Dah nak kering
dah. Maklumlah duduk sini duit kena berjimat macam yang kakak ajar. Duit PTPN
jangan digunakan sesukav hati." Ada tawa keci di hujung talian.
"Iyerlah. Nanti kakak kirimkan bekalan makan untuk
Is."
"Semoga kakakku yang cantik ini bertemu dengan
jodohnya…amin… Assalamualaikum"
"Is…Is…Walaikumusalam." Talian diputuskan. Itu saja
doa yang dia dengar dari mulut Qais. Supaya dia bertemu jodoh dan melupakan
Ashraf. Seperti kata Qais, "Masih ada lelaki yang lebih baik dari Ashraf.
Siapa tahu akan bertemu denga lelaki yang betul-betul mecintai kakak
selama-lamanya walaupun jasad sudah dimamah tanah cinta tetap kekal
abadi." Itu kata Qais, adik bongsunya. Namun Batrisyah tidak pasti sama
ada cinta itu masih ada untuknya atau cinta itu sekadar hadir sekejap cuma.
Batrisyah menyandarkan tubuhnya. Kaca mata putihnya
ditanggalkan. Hampir dua tahun dia tidak bertemu mata dengan Farisya.
Seboleh-bolehnya dia akan mengelak dari berselisihan dengan Farisya mahupun
adik-beradik yang lain. Dia juga tidak kuat untuk mengadap muka Ashraf. Dia
tidak suka bertekak. Malah lebih suka mendiamkan diri dari membalas. Menjeruk
perasaan dalam hati. Sukar untuk dia meluahkan kepada orang lain. Itu kelemahan
Batrisyah.
Aku pasrah! Aku redha dengan segala-gala yang telah berlaku itu.
Tidak kuimpikan kebahagiaan itu jika ia bukan milikku. Biarlah ku mamah segala
penderitaan ini…Biarlah ku telan kesengsaraan ini! Cinta yang hadir itu memang
mengasyikkan tapi aku lupa ia juga bersalut dengan kedukaan! Aku pasrah walau
begitu pedih dan pilu menusuk hati. Biar pahit akan ku telan jua. Aku harus
sedar! Jangan ku biarkan diriku menjadi hamba cinta. Ini adalah dugaan-NYA. Aku
percaya suatu hari nanti aku bertemu dengan sinar kebahagiaan ku jika bukan di
sini mungkin di sana kelak! Siapa tahu?
******************************
BATRISYAH tidak mempedulikan mata-mata yang memandangnya sinis.
Dia terus melangkah masuk merapati ayahnya. Tangan yang sudah berkedut itu
dicium. Kemudian dia beralih pada Farisya yang sedang terbaring atas katil
bersama anak kecilnya. Batrisyah tidak mempedulikan renungan tajam Farisya. Dia
tahu Farisya tidak senang dengan kehadiran dia situ. Dia terus mengangkat tubuh
si kecil dan menciumnya lembut. Wajah anak kecil itu banyak mengikut dari
sebelah ibunya. Batrisyah tersenyum lalu diletakkan semula sekecil itu di sisi
Farisya.
"Comelnya anak buah makcik. Bila besar pasti cantik macam
ibu dia juga." Farisya juihkan bibir mendengar pujian Batrisyah pada
anaknya. Batrisyah memang tidak tahu malu. Dia tidak jemput kakaknya itu datang
untuk melawat dia di sini.
"Ini hadiah untuk anak buah makcik." Batrisyah
hulurkan satu set hamper pakaian bayi kepada Farisya. Farisya menyambutnya
kemudian dilontarkan ke permukaan lantai. Batrisyah terkilan. Dia menahan sebak
di hati. Sedaya-upaya dia cuba mengukir senyuman di bibirnya. Anggapan Farisya
masih tidak berubah terhadap dirinya. Batrisyah memungut hadiah yang terdampar
atas lantai itu.
"Kami tidak perlukan hadiah dari kau. Kami juga tidak
jemput kau menjenguk kami." keras nada suara Farisya. Ashraf di sebelah
tidak berani untuk bersuara. Ingin memandang Batrisyah sudah tidak sanggup demi
menjaga hati isteri tercinta. Puas dia memujuk Farisya bahawa cintanya hanya
untuk isterinya itu. Farisya tetap meragui cintanya. Pada Farisya nama
Batrisyah masih bertakhta di hati Ashraf. Api cemburu Farisya tidak dapat
dibendung bila mengetahui Ashraf masih menghubungi Batrisyah. Hingga saat ini
sikap Farisya masih dingin terhadapnya biarpun mereka sudah punya seorang anak.
"Siapa nama si comel ini Fa? Fa dan Raf sudah letakkan nama
ke?" tanya Batrisyah tanpa mengendah kata-kata Farisya. Dia sudah lali
dengan sumpah seranah Farisya. Segalanya dipendamkan dalam hati.
"Putri Atheerah…." Ashraf menjawab bagi pihak Farisya.
Farisya menjeling suaminya. Ashraf buat tidak nampak. Kesian pula pada
Batrisyah yang langsung tidak diendah oleh sesiapa. Bukannya Batrisyah ingin
mencari gaduh.
"Kau memang tidak tahu malulah Risyah. Kau masih berani
tunjuk muka setelah kau beri malu pada keluarga. Kau ingat kami akan lupakan
apa yang kau buat itu dengan mudah!" suara Syakila sinis. Kehadiran
Batrisyah mencacatkan kegembiraan mereka sekeluarga. Batrisyah membisu.
Kegembiraan mereka sekeluarga? Dia juga ahli keluarga ini. Darah yang mengalih
sama dengan Akasyah, Syakila, Farisya dan Qais. Mudahnya diri ini di buang.
"Kak Sya…Kak Fa…Is yang jemput Kak Risyah datang. Kalau Kak
Sya dan Kak Fa nak marah jangan marahkan Kak Risya. Kak Sya dan Kak Fa boleh
marah Is." Qais menyampuk membela Batrisyah.
"Siapa suruh kau jemput perempuan ini datang!" Farisya
menengking. Tahu benar dia Qais terlalu rapat dengan Batrisyah. Sayang benar
Qais pada Batrisyah. Tahulah Batrisyah yang mengendong dan menjaganya dari
kecil setelah ibu mereka meninggal dunia. Qais selalu saja menyebelahi
Batrisyah.
"Buka sikitlah mata kau Is…siapa kakak kesayangan kau
itu!" desis Farisya.
"Is kenal siapa Kak Risyah. Tak perlu Kak Fa nak mengajar
Is mana yang betul
dan mana yang salah. Is bukan buta untuk menentukan betul dan
salah. Kau orang semua tu yang buta! Buta menilai hati budi dan pengorbanan Kak
Risyah."
"Amboi! Kau dah pandai berkurang ajar Is. Kami hantar kau
belajar bukan suruh jadi budak kurang ajar!" Terbuntang luas mata Akasyah
dengan kata-kata adik bongsunya itu. Qais bukan jenis yang suka melawan kata.
"Kami…tolonglah sedar diri sikit Abang Syah. Bukan Abang
Syah, Kak Sya atau Kak Fa yang keluarkan perbelanjaan Is menyambung belajar
tapi Kak Risyah tahu! Kak Risyah yang tanggung Is dan keperluan abah di kampung
itu! Apa yang Abang Syah bagi? Kak Sya dan Kak Fa bagi? Bagi hutang adalah.
Abang Syah itu gadai tanah kebun abah itu belum dikira lagi. Konon nak
selesaikan hutang piutang syarikat insurans milik isteri kesayangan abang tu.
Bila mahu tuntut balik! Abang tahu tak tanah kebun tu yang bagi kita semua
makan selama ini." Qais membuka pekung abang dan dua orang kakaknya itu.
Akasyah terdiam. Mulut Syakila juga terkunci rapat. Batrisyah terkejut bukan
kepalang. Kebun pisang ayahnya sudah tergadai. Bila? Mengapa dia langsung tidak
tahu hal tersebut. Benar kata Qais. Kebun itu yang memberikan rezeki kepada
mereka sekeluarga.
"Ala…benda kecil begitu kau nak besarkan Is. Lainlah Kak
Risyah itu bagi malu besar keluar family kita. Satu kampung kecoh pasal dia.
Lari masa majlis perkahwinan." Farisya masih tidak mahu mengalah.
"Kak Fa nak tahu sangat ke punca Kak Risyah lari masa
perkahwinana dia dengan Abang Ashraf. Biar Is bagitahu Kak Fa…." Batrisyah
segera mencengkam pergelangan tangan Qais. Batrisyah gelengkan kepalanya. Dia
tidak mahu Qais membongkar perkara tersebut. Qais menundukkan kepalanya.
Bibirnya mengeluh hampa. Sampai bila Batrisyah mahu menyembunyikan perkara itu
dari mereka yang hanya tahu meletakkan kesalahan pada dia.
"Hah! Apa dia yang kau nak bagitahu aku itu Is!
Cakaplah!" Makin lantang suara Farisya.
"Sudah! Sudah! Jangan nak bergaduh di sini. Kau itu baru
lepas bersalin Fa. Cubalah bawa-bawa bersabar sikit." Haji Sufian yang
berdiam diri sejak tadi mencelah. Farisya mencebik bibir. Benci dia melihat
wajah Batrisyah. Berlakon baik konon! Ashraf pastinya tidak mahu lepas pandang
menatap wajah bekas kekasihnya itu. Bertambah-tambah kebencian di hati Farisya
terhadap Batrisyah. Batrisyah tidak mahu mengusutkan keadaan. Diaturkan langkah
kakinya keluar dari wad berkenaan. Qais dan Haji Sufian menuruti langkahnya.
"Risyah…abah rasa lebih baik Risyah balik."
"Risyah tahu kehadiran di sini tidak di senangi. Risyah
bukan sebahagian dari keluarga ini lagi. Abah pun sudah buang Risyah."
sayu suara Batrisyah.
"Apa Risyah merepek ini. Baik buruk Risyah…Risyah tetap anak
abah. Abah tidak membezakan anak-anak abah."
"Erm…Risyah tidak kisah jika abah membenci Risyah juga.
Risyah tahu apa yang Risyah buat." Senyuman tidak pernah lekang dari bibir
Batrisyah. Dalam duka dia masih boleh tertawa dan tersenyum. Jarang air matanya
dilihat menitis di hadapan orang-orang sekelilinginya kecuali ketika arwah emak
meninggal dunia. Batrisyah…gadis yang sukar untuk difahami isi hatinya. Dia
lebih suka memendam perasaan seorang diri dari meluahkan.
"Risyah…" Haji Sufian tidak tahu apa yang harus
diperkatakan. Pada mulanya dia amat marahkan tindakan Batrisyah lari dalam
majlis perkahwinannya. Marah itu lama-lama hilang begitu saja. Haji Sufian
tidak kisah dengan umpatan mulut-mulut orang kampung lagi. Batrisyah berbuat
demikian pasti bersebab. Batrisyah seakan menyembunyikan sesuatu. Haji Sufian
boleh lihat dari perlakuan Batrisyah yang sering tampak bersahaja dan tenang
itu. Batrisyah bukan jenis yang cepat melatah.
"Risyah balik dululah abah. Inform Risyah bila Fa buat
kenduri cukur rambut Putri nanti. Insya-ALLAH Risyah akan balik."
Batrisyah menyalami tangan Haji Sufian. Haji Sufian anggukkan kepalanya.
"Pandu kereta itu baik-baik Risyah. Kalau ada cuti itu
baliklah ke kampung. Lama benar kau tak menjenguk abah di kampung. Cerita dua tahun
yang tidak perlu diungkit lagi Risyah. Apakah tidak cukup rajuk Risyah pada
abah." Haji Sufian pandang wajah anak gadis itu. Bibir tua itu melirik
senyuman nipis. Bergenang air mata Batrisyah mendengar kata-kata ayahnya itu.
Laju dia anggukkan kepalanya. Qais langsung tidak menyampuk perbualan abah dan
kakaknya. Dia hanya mendiamkan diri. Rasa marah pada abang dan dua orang
kakaknya itu masih membara. Tidak sedar diri betul!
"Is nak ikut kakak balik samakah?" Batrisyah mengalih
pandang pada Qais.
"Erm…Is nak pergi toilet dulu. Kakak tunggu Is kat kereta
sajalah."
"Baiklah."
BETULKAH matanya tidak salah pandang. Beberapa kali Syed
Ibtisyam menggosok mata. Teman baik disebelahnya mengerut dahi. Dia tepuk bahu
Syed Ibtisyam lembut.
"You tengok apa Ib? Tak berkedip-kedip mata you."
Temannya turut memanjang leher untuk melihat objek yang menjadi tumpuan Syed
Ibtisyam.
"I tengok bidadari dari kayanganlah. You jangan kacau
daunlah Iq." Syed Ibtisyam menolak muka temannya. Faliq ketawa kecil.
"Kalau you tengok bidadari I pun mahu tengok jugak.
Secantik mana bidadari you itu." Syed Ibtisyam mencebik. Faliq mengusik
dia. Jari telunjuk Syed Ibtisyam diajukan pada gadis bertudung yang sedang
bersandar pada kereta berwarna hijau metallic itu. Gadis itu kelihatan asyik
merenung jam di tangan kanannya.
"Sejak bila you minat gadis bertudung ni Ib? Setahu I you
tak pandang perempuan-perempuan yang berbaju kurung dan bertudung liput. You
lebih suka perempuan yang moden dari pelbagai segi." desis Faliq.
"I sendiri tidak tahu macam mana I boleh tersangkut pada
dia. Dia nampak biasa tapi….entahlah sukar untuk I terangkan pada you."
keluh Syed Ibtisyam.
Faliq mengusap dagunya yang licin. Dia cuba menggamit wajah
gadis itu. Pada masa yang sama gadis itu mengangkat wajahnya. Faliq terpana
melihat keayuan gadis bidadari Syed Ibtisyam. Hatinya bergentar. Pantas dia
mengalih pandang. Tidak mahu Syed Ibtisyam perasan akan gelagatnya sebentar
tadi. Fikirnya gadis itu biasa-biasa saja raut wajahnya. Patutlah Syed Ibtisyam
terpikat pada pandangan pertama. Gadis itu cukup cantik. Putih berseri
orangnya.
"Ib…I rasa kita patut gerak sekarang. Masa lawatan tinggal
setengah jam saja."
"Erm…you masuk dululah. I mahu bertegus sapa dengan buah
hati I kejap." Syed Ibtisyam menolak tubuh Faliq. Faliq mengetap bibir.
Dia paut lengan Syed Ibtisyam. Diheret temannya itu mengikut dia masuk bersama.
Terjerit-jerit Syed Ibtisyam. Faliq buat pekakkan telinga. Malas mahu melayan
karenah Syed Ibtisyam sedangkan jantungnya berdengup kencang apabila teringatkan
wajah ayu gadis itu.
Mencuka muka Syed Ibtisyam semasa berada dalam wad persendirian
ayahnya. Dato’ Syed Mukhlis kerut dahi dengan sikap anak sulungnya itu. Apa
tidak kena dengan Syed Ibtisyam. Dia alih pada Faliq yang tersenyum sambil
bersandar di dinding menyilangkan kaki. Dato’ Syed Mukhlis mengeluh kecil.
"Kalau membuang masa melawat papa tidak perlu datang
Ib." sinis butir bicaranya.
"Dia tengah bengang dengan Faliqlah uncle. Itu sebab
muncung dia sedepa." Faliq bersuara. Cemberut muka Syed Ibtisyam. Dia
hampiri katil papanya.
"Apa kata doktor? Bila papa boleh keluar hospital? Rasanya
papa sudah nampak sihat sekarang." Syed Ibtisyam mengubah topik perbualan.
"Keadaan papa sudah stabil. Papa perlukan rest yang cukup
dan tidak dibenarkan bekerja kuat lagi. Esok papa sudah boleh keluar Ib. Tak
perlulah kau jemput papa. Mama kau dan adik-adik kau akan uruskan hal papa di
sini. Kau selesaikan dulu masalah syarikat kita. Papa tidak mahu kerja kau
terganggu kerana papa. Papa dah banyak bebankan kau."
"Erm…papa janganlah risau. Urusan syarikat Ib dah uruskan
semuanya." Dato’ Syed Mukhlis tersenyum. Harapan diletakkan pada bahu Syed
Ibtisyam. Itu saja satu-satunya anak yang boleh bergantung harap. Doanya moga
anaknya itu tidak tersalah langkah. Dunia perniagaan macam politik. Suka main
kotor untuk menjatuhkan orang lain. Siapa kuat dia yang berkuasa!
"Faliq…ada masa nanti datang ke rumah uncle. Sejak kau
ambil alih syarikat arwah papa kau, sibuk memanjang di pejabat. Lama uncle
tidak berborak dengan kau." Mata Dato’ Syed Mukhlis berkalih pada wajah
Faliq. Anak muda itu sudah mengikut acuan arwah papanya. Tinggi, tegap dan
kacak. Sejak kecil Faliq dan Syed Ibtisyam sudah berkawan rapat. Ke mana saja
pasti berdua. Mereka bagaikan tidak boleh dipisahkan. Nama panggilan mereka pun
memang dekat. Ib dan Iq.
"Insya-ALLAH uncle. Bukan saya tidak mahu menjenguk uncle
sekeluarga. Saya perlu banyak belajar tentang syarikat arwah papa. Bukan senang
menguruskan syarikat yang besar uncle. Pening kepala saya di buatnya." Faliq
memberikan alasan yang munasabah. Apa tidaknya ibu lepas tangan begitu saja.
Banyak projek tertangguh dan perlukan approval. Terpaksa dia melekat di pejabat
hingga larut malam.
"Satu pesan uncle pada kau…jangan jadi hamba kerja. Kalau
tidak kau jadi seperti unlce ini, Faliq. Orang-orang kaya ini mudah sangat kena
sakit jantung." Tertawa
Faliq dan Syed Ibtisyam. Kenyataan yang tidak dapat dinafikan.
Orang kaya-kaya memang mudah mendapat serangan jantung.
"Orang kaya bekerja tidak mengeluarkan peluh. Ada pun hanya
memeras otak sampai kepala jadi botak separuh. Macam sayalah uncle. Bakal dapat
rambut separuh botak. Kalau bersukan pun setakat bermain golf di padang."
komen Faliq. Syed Ibtisyam anggukkan kepala tanda bersetuju dengan kata-kata
sahabatnya itu. Dato’ Syed Mukhlis tersenyum. Dia gelengkan kepala
berkali-kali. Anak muda zaman sekarang. Namun Dato’ Syed Mukhlis menyenangi
sikap Faliq. Faliq bukan seperti pemuda-pemuda yang suka berpeleseran. Faliq
pemuda yang diasuh dengan tatatertib dan tatasusila. Faliq amat hormatkan
pendapat orang lain. Tidak seperti Syed Ibtisyam yang mudah naik angin dan
tidak suka dikongkong. Puan Sri Qistiana amat beruntung punya anak lelaki
seperti Faliq. Jika dia punya anak perempuan pasti saja dia akan menjodohkan
anaknya itu dengan Faliq.
"Ibu kamu sihat? Lama benar uncle tak berjumpa dengan ibu
kamu."
"Alhamdulillah. Ibu sihat saja uncle. Dia ligat dengan
aktiviti persatuannya. Lebih
sibuk dari saya, uncle. Nak jumpa ibu pun susah kebelakangn ini.
Ibu kerap juga melancong ke luar negeri."
"Tak mengapalah Iq. Mungkin dia bosan seorang diri di rumah
tu. Kamu pun sesekali pergilah bercuti. Uncle tengok kamu makin kurus dari
dulu." Faliq tertawa. Tidak sedar rupanya tubuh dia makin mengecut. Dia
semakin jarang mengikuti kelas gym seperti selalu. Makannya juga sesekali tidak
terurus. Syed Ibtisyam ada juga menegurnya.
"Betul tu kata papa I tu Iq. You lebih teruk dari lelaki
yang angau bercinta."
"Iyerlah tu."
"Itu belum jumpa lagi dengan buah hati pengarang jantung
dia. If dah jumpa nanti tak tahulah. Agaknya lagi teruk dari sekarang
ini."
"Apa-apa sajalah Ib. Jangan you yang esok teruk dari I
nanti sudah. Sekarang ni pun I tengok you dah angau."
"Ib angau? Ib angau kan siapa Iq." Tepat Dato’ Syed
Mukhlis memandang muka Faliq. Faliq tersenyum.
"Ib angaukan…" Sepantas kilat Syed Ibtsiyam menekup
mulut Faliq. Dia takut tembelangnya pecah depan papa. Dia tidak mahu papanya
tahu sebelum dia dapat memikat hati gadis igauannya itu. Papa pasti berkenan.
Batrisyah ada cirri-ciri menantu pilihan papa.
"Tiada sesiapalah papa. Iq ni saja je buat cerita."
Faliq mendengus kecil. Syed Ibtisyam sudah ketawa.
No comments:
Post a Comment